Sunday, March 20, 2011

Selamat Bertugas

1 comments
Selamat bertugas kepada semua Guru Cemerlang lantikan baru. Semoga dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab.

Tuesday, March 9, 2010

PROGRAM 1 HARI BERSAMA GURU CEMERLANG NEGERI PERAK TAHUN 2010

0 comments
Tajuk: PROGRAM 1 HARI BERSAMA GURU CEMERLANG NEGERI PERAK TAHUN 2010


2. Latarbelakang:

Program 1 Hari Bersama Guru Cemerlang bertujuan untuk membangunkan modal insan yang mindanya kelas pertama dan berdaya saing dalam peringkat glokal. Guru Cemerlang perlu merealisasikan enam teras dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) untuk memenuhi matlamat pendidikan Malaysia dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hasrat Kementerian untuk membina negara bangsa, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan dapat disalurkan melalui Program 1 Hari Bersama Guru Cemerlang.
Bilangan GC dalam pelbagai mata pelajaran di negeri Perak telah meningkat dengan drastik dari 120 orang pada akhir tahun 2008 kepada 501 orang pada akhir 2009. Kesemua daerah di negeri ini telah mempunyai bilangan GC melebihi 50 orang kecuali daerah Kuala Kangsar , Kinta Selatan dan Hulu Perak yang hanya mempunyai GC kurang dari 30 orang. Peningkatan ini diharapkan sejajar dengan peningkatan prestasi peperiksaan awam di semua peringkat UPSR, PMR, SPM atau STPM. Terdapat juga GC yang dilantik untuk mata pelajaran yang bukan peperiksaan seperti Bimbingan dan Kaunseling, Pendidikan Khas, Muzik, Pengurusan Pusat Sumber dan beberapa mata pelajaran lagi. Lampiran 1 menunjukkan taburan GC mengikut daerah dan mata pelajaran di negeri Perak pada 30 Oktober 2009.
Program 1 Hari Bersama Guru Cemerlang adalah lanjutan daripada Program Pemanduan Guru Cemerlang yang telah dilaksanakan mulai tahun 2007. Fokus hanya diberi kepada mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sains. Pada tahun 2008, program ini diperluaskan lagi kepada mata-mata pelajaran lain iaitu GC digerakkan bukan sahaja di peringkat daerah tempat mereka bertugas, tetapi merentasi daerah lain yang memerlukannya.
Program 1 Hari Bersama Guru Cemerlang merupakan satu program, tenaga GC digembeling sepenuhnya untuk membantu sekolah, daerah dan negeri khususnya bagi meningkatkan prestasi peperiksaan awam terutama bagi sekolah berprestasi rendah. Program ini dilihat perlu dilaksanakan sebagai satu usaha untuk menjadikan “Negeri Perak Komuniti Berilmu Menjelang 2010” dan slogannya “Komuniti Berilmu Perak Terbilang” menjelang tahun 2015.


3. Objektif:

3.1. Meningkatkan kecemerlangan peperiksaan awam
3.2. Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran yang berkesan
3.3. Perkongsian idea dan kemahiran
3.4. Menggalakkan guru memohon Guru Cemerlang


4. Sasaran:

4.1 Sekolah Prestasi Rendah (SPR) yang dipilih dari seluruh daerah
4.2 Sekolah Menengah
4.3 Sekolah Rendah
4.4 Sekolah yang tiada Guru Cemerlang

5. Pelaksanaan program:

5.1 Mac – September 2010 (UPSR)
5.2 Mac – Oktober 2010 (PMR / SPM)

6. Strategi:

Program 1 Hari Bersama Guru Cemerlang di seluruh negeri Perak akan diadakan pada setiap hari Rabu iaitu 1 hari tiada jadual P&P GC di sekolah. Pergerakan GC pada hari Rabu di seluruh negeri Perak berdasarkan modus operandi berikut:
6.1. GC turun ke sekolah atas arahan PPD:
Pihak PPD akan menentukan pergerakan GC ke sekolah yang ditetapkan sama
ada seorang GC atau kumpulan GC bersama-sama dengan pegawai PPD.
6.2. GC turun ke sekolah atas permintaan pihak pentadbiran sekolah:
GC turun ke sekolah untuk memenuhi permintaan pihak pentadbiran sekolah
untuk membantu mata pelajaran kepakaran GC di sekolah mereka.
Pergerakan GC dalam kawalan pihak pentadbir sekolah sendiri dan PPD.
6.3. GC bantu guru sekolah di pejabat PPD:
PPD mengumpulkan guru-guru sekolah mengikut mata pelajaran di PPD dan
GC akan membantu mereka di pejabat PPD.
6.4. GC bantu antara daerah dalam negeri Perak:
GC akan bergerak antara daerah bersama-sama dengan pegawai JPN atau
PPD, jika sekiranya tiada mata pelajaran kepakaran di daerah tersebut.


7. Harapan:

Semoga Program 1 Hari Bersama Guru Cemerlang di seluruh negeri Perak ini akan menjadi satu saluran untuk membantu guru dan pelajar agar dapat menguruskan P&P yang berkualiti bagi mencapai keputusan peperiksaan awam yang cemerlang.
Justeru, harapan semua Guru Cemerlang melalui Majlis Guru Cemerlang dapat mencapai matlamat dan objektif kecemerlangan akademik terutama dalam peperiksaan awam. Diharapkan semangat bekerja secara berpasukan dalam kalangan Guru Cemerlang Daerah dapat merealisasikan aspirasi kerajaan Negeri Perak untuk mewujudkan negeri berasaskan ilmu (K-State) menjelang tahun 2010. Hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk melahirkan modal insan dan memartabatkan profesion keguruan akan tercapai jika kita sebagai Guru Cemerlang memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Semoga Allah memberkati usaha hambanya. Insya Allah.



Oleh:
MGC Perak 2010

Tuesday, January 19, 2010

Info GC 2010

0 comments
Tahniah.... Program Satu Hari Bersama GC diluluskan. Hari tiada P&P ialah KHAMIS.
KSPA akan keluarkan surat tentang garis panduan satu hari tiada p&p ke sekolah. Tindakan seterusnya, perlu dibincang oleh Mesy JK MGC & SPA . Bidang Kemanusiaan akan bersama-sama MGC bagi menjayakannya pada tahun 2010 ini.

Tahniah,
Sekian, terima kasih.

Salam tahun 2010

0 comments
Salam semua GC Perak,
Tahun 2010 diharapkan semua GC dapat memberikan kerjasama untuk perkongsian pintar antara kita supaya mendapat bahan yg boleh digunakan untuk kepentingan pnp dan pelajar kita. Manfaatkan egroup ini untuk tujuan tersebut.


Harap kita GC dapat bergerak sebagai 1 kumpulan. Jangan simpan bahan sendiri sahaja tetapi dikongsikan dgn rakan2 kita untuk penjimatan tenaga.
Bagi saya ilmu umpama air perigi/telaga (walaupun kini tiada telaga) jika tidak ditimba / tidak diberikan kepada org lain; ianya akan keruh dan berbau busuk.

Matlamatnya adalah untuk meningkatkan prestasi akademik negeri Perak, jika kita semua bekerjasama.


Friday, December 18, 2009

Antologi Cerpen

0 comments
TUAN/PUAN,

Majlis Guru Cemerlang Malaysia (MGCM) telah menerbitkan sebuah lalgi antologi cerpen selepas menerbitkan antologi cerpen Terima Kasih Tuhan dan Memoribilia, iaitu antologi Selagi Masih Muda.

Antologi cerpen Selagi Masih Muda yang memuatkan 27 buah cerpen yang merakamkan kelok seribu liku yang dilalui oleh Guru Cemerlang memaparkan kisah-kisah yang mengharukan, mencuit minda serta mengihlamkan.

Sewajarnya, pengalaman yang berharga ini dihayati oleh para pendidik dan pelajar, serta seluruh ahli masyarakat.

Untuk memilikinya, sila hubung:

Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd
No. 1 & 3, Jalan 3/91A
Taman Shamelin Perkasa, Cheras
56100 Kuala Lumpur.

Tel: 03-92856577
Faks: 03 92846554 dan 03 92875763
e-mel: enquiry@upnd. com.my

HARGA: RM28.00 (Termasuk belanja pos)
atau dapatkan daripada YDP Majlis Guru Cemerlang di negeri anda.

Monday, October 19, 2009

Konvensyen GC Perak 2009

0 comments
Konvensyen Guru Cemerlang Negeri Perak 2009

Tarikh : 28 - 3- Oktober 2009
Tempat : Teluk Batik Resort, Lumut
Pendaftaran : 2.00 - 5.00 petang

Guru yang terlibat akan menerima surat panggilan.

Saturday, September 5, 2009

Salam Aidilfitri

0 comments

SALAM AIDILFITRI BUAT SEMUA WARGA PENDIDIK.

Tuesday, July 21, 2009

Info

0 comments
SALAM,
HARAP SEMUA YDP DAPAT MENGEMAILKAN SENARAI NAMA GC TERKINI (JULAI 2009) KEPADA TN. SYED UNTUK DIKEMASKINIKAN. TK

Friday, July 17, 2009

Artikal @ Sinar

0 comments
Artikel ini disiarkan di www.sinarharian. com.my pada hari ini di EDISI PerakGolongan pendidik digesa berubah untuk capai kecemerlangan

TAIPING - Seminar Peningkatan Profesional Guru Cemerlang Negeri Perak 2009 telah berlangsung dengan jayanya apabila seramai 177 guru cemerlang dari Zon Utara iaitu Larut Matang, Kerian, Kuala Kangsar, Hulu Perak dan Kinta Selatan berkumpul mendengar amanat Pengarah Pelajaran Perak. Pengarah Pelajaran Perak, Mohd Radzi Abd Jabar berkata, semua guru cemerlang perlu berganding bahu meningkatkan pencapaian di sekolah masing-masing dan seterusnya melonjakkan kedudukan negeri ini ke tangga yang lebih baik. Menurutnya, pihak sekolah terutama guru cemerlang perlu memainkan peranan dalam meningkatkan kedudukan prestasi negeri ini berbanding negeri lain. “Antara aktiviti yang sering dijalankan adalah program latih tubi, ceramah motivasi, bacaan Yasin, ceramah ibu bapa, kelas tambahan, hari terbuka ibu bapa dan banyak lagi, tetapi ia masih di tahap yang sama. “Ini kerana cara serta kaedah yang dijalankan adalah sama dan di sinilah guru yang cemerlang memerlukan kaedah lain untuk menarik minat pelajar sekali gus menjadikan aktiviti itu cemerlang,” katanya ketika menyampaikan ucapannya pada Seminar Pe�ningkatan Profesional Guru Cemerlang Negeri Perak 2009, di sini.

Mohd Radzi berkata, sesuatu itu tidak cemerlang sekiranya masih di tahap yang sama atau tiada perubahan. “Contohnya, jika seseorang itu meletakkan sasarannya 70, maka pencapaiannya adalah 75 itu cemerlang. Tetapi jika disasarkan 70 dan akhirnya mendapat 65, itu adalah masalah,” katanya. Beliau berkata, setiap orang mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing berdasarkan rekod-rekod terdahulu, tetapi ia gagal menterjemahkan angka tersebut, kerana program yang dijalankan adalah biasa. “Program yang dijalankan tidak memberikan input baru, kaedah baru dan sebagainya dan ini juga diakui oleh guru besar dan pengetua. Pihak sekolah perlu membuat perbandingan dengan sekolah berhampiran sebagai pesaing dalam meningkatkan prestasi sekolah. “Saya berharap pihak sekolah dapat menyusun atur semula strategi yang diluluskan agar mengandungi input yang lebih mencabar minda dan kreatif,” katanya. Mohd Radzi berkata, guru perlu menumpukan 30 minit perhatian kepada seorang pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) terutama kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan. “Jika dahulunya, banyak masa dihabiskan dengan berbual, cuba ambil masa tersebut mendampingi pelajar atau berbincang secara profesional, tentang pemantauan, inovasi dalam pendidikan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berharap dengan peluang yang ada, guru cemerlang mesti ke hadapan tanpa perlu disuruh dan memberi fokus menceburi pertandingan atau apa sahaja sama ada bidang kokurikulum atau akademik . “Dengan adanya fokus, ia akan mempunyai matlamat untuk dicapai, maka guru-guru tahu pencapaian yang mereka mahukan bagi tahun tersebut. “Sasaran ini juga perlu diberitahu kepada pelajar supaya mereka turut merealisasikan harapan serta misi sekolah ke arah peningkatan prestasi ke tahap yang cemerlang,” katanya.

Monday, July 13, 2009

Terima kasih & Penghargaan

0 comments
Assalamualaikum wrt dan Salam Sejahtera
semua YDP MGC Daerah,


Terlebih saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kerjasama dan jasabaik tuan/puan menjayakan Seminar Peningkatan Profesionalisme Guru Cemerlang Negeri Perak, Ambilan 2/2009 pada 13 Julai 2009 di Hotel Seri Malaysia, Taiping.

Semoga rakan-rakan GC mendapat banyak manfaat daripada perkongsian ilmu dan pengalaman di dalam seminar tersebut.

InsyaAllah.. ... kita akan merancang dan melaksanakan pelbagai program peningkatan profesionalisme GC di negeri perak seterusnya dapat meningkatkan kecemerlangan pendidikan di negeri perak.

Sekian, terima kasih.

Daripada :
Syed Mahizan Syed Hashim,
JPN Perak.

Friday, June 26, 2009

Info Mesyuarat

0 comments
SALAM KEPADA SEMUA YDP,

MESYUARAT JK MGC PERAK BIL 3/2009
TARIKH : 30/6/2009 - SELASA
MASA : 3.00 PTG
TEMPAT: BILIK SERI BUDI, JPN PERAK

KEHADIRAN: SEMUA YDP.

SURAT AKAN DIFAKS KE SEKOLAH PADA HARI ISNIN. TK

Sunday, June 14, 2009

SEMINAR PENINGKATAN PROFESIONALISME

1 comments
Seminar peningkatan Profesionalisme Guru-Guru Cemerlang Negeri Perak, Ambilan 1/2009
(Daerah Kinta Utara, Batang Padang, Hilir Perak, Perak Tengah dan Manjung)

Tarikh : 18 Jun 2009 (KHAMIS)
Masa : 8.00 Pagi - 5.00 Ptg
Tempat : Hotel Hillcity, Ipoh

*Senarai nama peserta dikeluarkan oleh pihak JPN.
Semua Guru Cemerlang diwajibkan hadir.

Seminar peningkatan Profesionalisme Guru-Guru Cemerlang Negeri Perak, Ambilan 2/2009
(Daerah Kuala Kangsar, LMS, kinta Selatan, Kerian dan Hulu Perak)

Tarikh : 13 Julai 2009 (Isnin)
Masa : 8.00 Pagi - 5.00 Ptg
Tempat : Hotel Seri Malaysia, Taiping

OBJEKTIF SEMINAR
1. Menyampaikan fungsi dan peranan guru cemerlang dalam pembangunan pendidikan.
2. untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan ketrampilan guru cemerlang.
meningkatkan profesionalisme guru-guru cemerlang di Negeri Perak

Saturday, June 13, 2009

UCAPAN PENGARAH PELAJARAN PERAK

0 comments

Ucapan Pengarah Pelajaran Perak

Dalam Majlis Perasmian

Program Profesionalisme Guru Cemerlang

Negeri Perak 2009


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan Salam Sejahtera;

Terima kasih kepada Pengacara Majlis,

· Yang Berusaha Tuan Hj Rozi bin Puteh Ismail AMP;PPT Ketua Sektor Pengurusan Akademik, JPN, Perak.

· Yang Berusaha Tuan Syed Mahizan bin Syed Hashim, KPP Matematik, Sektor Pengurusan Akademik JPN Perak.

· Yang Berusaha En. Mohd. Narwawi bin Abd. Rani, Yang Dipertua Majlis Guru Cemerlang Negeri Perak.

· Yang Berusaha Pegawai-pegawai JPN / Wakil PPD

· Ahli Jawatankuasa Guru Cemerlang Negeri Perak, dan

· Guru-guru Cemerlang peserta program Profesionalisme Guru Cemerlang Negeri Perak 2009


Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya , dapat saya bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan warga Guru Cemerlang sekalian dalam Majlis Perasmian Program Profesionalisme Guru Cemerlang Negeri Perak 2009. Saya berasa amat sukacita kerana dapat bertemu dengan tuan-tuan dan puan-puan warga Guru Cemerlang dari seluruh negeri Perak. Saya ingin mengucapkan sekalung tahniah dan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jawatankuasa Pelaksana Program Profesionalisme Guru Cemerlang Negeri Perak 2009 atas komitmen dan kesungguhan dalam melaksanakan Profesionalisme Guru Cemerlang pada pagi ini untuk semua Guru Cemerlang di negeri Perak. Saya difahamkan, program Profesionalisme Guru Cemerlang ini dibahagikan kepada dua ambilan dan hari ini merupakan ambilan pertama dan ambilan kedua pula akan diadakan pada 13 Julai 2009 kerana bilangan Guru Cemerlang kita terlalu ramai.


Hadirin yang saya hormati sekalian,

Di sini saya mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Guru Cemerlang yang baru dilantik dan dinaikkan pangkat ke gred yang lebih tinggi. Bilangan Guru Cemerlang di negeri Perak telah bertambah empat kali ganda daripada tahun sebelumnya. Pada tahun 2008, bilangan GC di negeri Perak ialah seramai 123 orang. Mengikut statistik terkini iaitu sehungga 1Jun 2009, jumlah Guru Cemerlang di negeri Perak telah bertambah kepada 502 orang. Daripada jumlah tersebut, seorang GC telah dilantik ke Gred khas C , 8 orang GC DG 54, 10 orang GC DG 52, 57 orang GC DG 48, 148 orang GC DG 44, 69 orang DGA 34 dan 209 orang DGA 32. Tahniah sekali lagi diucapkan kepada semua GC yang telah dilantik. Saya berharap pelantikan GC yang begitu ramai ini dapat memberikan semangat dan motivasi kepada para pendidik di negeri Perak untuk bersaing secara sihat dalam meningkatkan kepakaran dan kemahiran dengan ganjaran pengiktirafan dalam bentuk pembangunan kerjaya. Saya berharap, dengan kuota kenaikan pangkat yang semakin bertambah ini, guru-guru dapat berusaha meningkatkan motivasi diri, berkhidmat dengan penuh dedikasi dan sentiasa bersedia menerima perubahan bagi memenuhi agenda pendidikan ke arah melahirkan modal insan yang memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK) yang bermatlamat melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).


Tuan-tuan dan puan-puan,

Besarlah harapan saya juga agar Guru Cemerlang di Negeri Perak dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang di sekolah dan membantu PPD dan JPN Perak bagi meningkatkan prestasi akademik terutama dalam meningkatkan peratus kelulusan peperiksaan awam di negeri ini. Kumpulan GC yang begitu besar ini, diharapkan dapat digemblengkan tenaga dan khidmat mereka untuk membantu mencemerlangkan PPD dan JPN menerusi program yang dirancang oleh Jawatankuasa Guru Cemerlang Negeri Perak dan Jawatankuasa Guru Cemerlang Daerah seperti Program Kunjung Bantu dan program-program lain yang boleh membantu guru dan pelajar di sekolah.

Saya juga berharap, Guru Cemerlang perlu proaktif dalam p&p di kelas, membantu meningkatkan kecemerlangan akademik, mencetuskan dan melaksanakan idea pentadbir, mengenal pasti secara spesifik kelemahan dan kekuatan setiap pelajar, menyediakan program pengayaan untuk pelajar cemerlang dan program pemulihan untuk pelajar yang berprestasi rendah. Selain itu, Guru Cemerlang juga perlu menjadi pakar rujuk, memberi khidmat nasihat dan membimbing guru dalam mata pelajaran kepakaran atau bidang pengkhususan dengan merancang dan melaksanakan aktiviti perkembangan staf bidang kurikulum dan kokurikulum dalam mata pelajaran kepakaran atau bidang pengkhususan. Guru Cemerlang juga digalakkan menjalankan kajian, menghasilkan penulisan ilmiah dan penyelidikan, meneroka inovasi dan penemuan baru dalam mata pelajaran kepakaran atau bidang pengkhususan dan membentangkan hasilnya.


Tuan-tuan dan puan-puan,

Apabila bercakap tentang kecemerlangan guru dan profesion keguruan, fokus perlu diberikan kepada lima perkara utama yang menjadi asas kejayaan dan kewibawaan seseorang guru. Lima perkara utama itu ialah kekuatan intelek, kepimpinan berwibawa, kemurnian akhlak, kesediaan untuk berubah serta minat dan cinta terhadap profesionnya. Setiap fokus ini sering berkait, melengkapi serta bergerak serentak dan beriringan. Hayatilah dan amalkan lima perkara tersebut agar tuan-tuan dan puan-puan dapat terus mengekalkan kecemerlangan dan semoga semua GC dapat memartabatkan profesion keguruan.

Dari segi kekuatan intelek, Guru Cemerlang perlu cemerlang dalam melaksanakan tugas asasi iaitu mengajar dalam bilik darjah. Walaupun ke mana GC memberikan sumbangan dan khidmat, saya berharap Guru Cemerlang perlu mencemerlangkan diri dalam (P&P) di bilik darjah iaitu mengajar yang merupakan ”core business” guru terhadap pelajar. GC perlu menguasai subjek yang diajar agar proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lancar, menyeronokkan dan bermakna. GC juga perlu menguasai kemahiran pedagogi agar dapat menarik minat pelajar untuk belajar dan mendatangkan hasil yang memuaskan.


Tuan-tuan dan puan-puan,

Guru Cemerlang juga perlu menunjukkan kecemerlangan dari aspek kepimpinan. GC perlu cemerlang dalam organisasi yang dipimpin. GC perlu bertanggungjawab terhadap kepimpinan pengajaran dan pembelajaran serta perkembangan sahsiah murid. Dalam masyarakat pula,GC menjadi contoh kepimpinan yang dihormati.

Guru Cemerlang juga harus menyedari bahawa sebagai pendidik, mereka perlu menjadi suri teladan yang baik atau uswatun hasanah kepada murid, ibu bapa dan komuniti. Penilaian pelajar, ibu bapa dan masyarakat akan tertumpu kepada peribadi guru khususnya dalam menyampaikan pengajaran di dalam dan di luar bilik darjah.

Justeru, selain mempunyai ilmu yang tinggi dan relevan, penampilan diri yang positif, berketerampilan, ketinggian budi pekerti, sikap dan budaya yang positif amat dituntut. Kita hendaklah sentiasa profesional, ceria serta amanah dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan . Sesungguhnya amanah menyampaikan ilmu adalah tanggungjawab yang akan dipersoalkan pada hari akhirat kelak. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud ” Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua dipertanggungjawabkan mengenai orang-orang di bawah pimpinan kamu.”


Berdasarkan hadis di atas, kedudukan profesion keguruan dalam agama cukup jelas. Segala ilmu yang disampaikan oleh guru kepada pelajar dan kesan daripada penyampaian itu akan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat kelak. Jika ilmu yang disampaikan oleh guru itu membawa kesan positif kepada pelajar, maka ganjaran kebaikan yang akan diterima. Begitu juga sebaliknya.


Alaf baru menyaksikan gelombang perubahan hasil kemajuan sains, kecanggihan teknologi, dan ledakan ilmu.GC perlu peka dan sentiasa bersedia untuk turut berubah dalam menghadapi keadaan ini. GC perlu mempelbagaikan ilmu dan kemahiran dan memanfaatkan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam sistem pendidikan kita agar anak-anak didik dapat dipersiapkan untuk menghadapi cabaran dan ancaman globalisasi dan liberalisasi. Di bahu gurulah tergalas tugas dan tanggungjawab untuk membangunkan modal insan dengan ciri-ciri individu dan masyarakat Bangsa Malaysia yang maju. Sebagai barisan kepimpinan, guru perlu sentiasa berada di saf hadapan untuk menjadi suri teladan yang baik dengan memupuk nilai-nilai jati diri kepada murid-murid agar dapat melahirkan bangsa Malaysia yang bersifat patriotik, bertanggungjawab , bermoral dan beretika.


Tuan-tuan dan puan-puan,

GC juga perlu menunjukkan minat dan kecintaan yang mendalam untuk menjalankan tugas secara jujur , ikhlas dan penuh tanggungjawab. GC perlu mempunyai ROH GURU agar dapat menjalani dan menggalas tugas untuk mendidik anak bangsa dengan jati diri yang kukuh, berdaya saing , berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat agar dapat menjadi warganegara yang glokal yang mampu bersaing seiring dengan kepesatan dunia. Di bahu GC , terletak tanggungjawab dan harapan untuk membangunkan modal insan kelas pertama dengan ciri-ciri individu dan masyarakat Bangsa Malaysia yang maju.


Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya berharap, program profesionalisme GC yang diadakan pada hari ini dapat memberikan manfaat yang banyak kepada GC . Setiap aktiviti yang berlangsung pada hari ini, memberikan banyak input dan maklumat kepada GC sekalian.Oleh itu, besarlah harapan saya, agar program profesionalisme GC ini mampu menjadi salah satu aktiviti terbaik kepada GC baru khasnya untuk bertukar-tukar idea, pengalaman dan kepakaran demi kecemerlangan dan keunggulan berterusan, bukan sahaja dari segi kreatif kerja, tetapi juga dari segi keperibadian, pengetahuan, dan kemahiran, komunikasi, potensi serta idea yang bernas. Platform ini juga, diharapkan dapat mempertingkatkan kecemerlangan diri GC supaya terus menyuluh dan memimpin dalam usaha mengangkat martabat profesion keguruan di negara kita ke tahap cemerlang, gemilang dan terbilang. Saya juga berharap,GC yang hadir pada hari ini dapat menyebarluaskan dan berkongsi segala maklumat yang diperoleh dengan rakan-rakan guru di sekolah masing-masing.


Saya percaya, perkongsian ini dapat menjana pemikiran yang bermutu ke arah pengamalan pengajaran dan pembelajaran (p&p) yang lebih inovatif, kreatif dan berkesan. Medan diskusi ini juga diharapkan akan membuka penerokaan baru dalam pendidikan yang akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan peranan Guru Cemerlang seterusnya menjadi pencetus kepada pembangunan kepakaran pedagogi tempatan yang membanggakan.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Pada kesempatan in, sekali lagi saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Guru Cemerlang Negeri Perak atas inisiatif merancang dan menjayakan program Profesionalisme GC Negeri Perak pada pagi ini. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti yang sudi menyampaikan slot pada pagi ini.Terima kasih juga kepada semua pembentang kertas kerja atas segala perkongsian ilmu yang telah diberikan. Harapan saya agar semua guru cemerlang akan dapat mengekalkan kecemerlangan diri selaras dengan motto Majlis Guru Cemerlang Malaysia iaitu ”Kecemerlangan Berterusan.”

Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, saya merasmikan Program Profesionalisme Guru Cemerlang Negeri Perak 2009.

Sekain,terima kasih.

Assalamualaikum w.b.t.


Tuesday, June 9, 2009

FOKUS PERANCANGAN PROGRAM GURU CEMERLANG NEGERI PERAK 2009

0 comments
FOKUS PERANCANGAN PROGRAM GURU CEMERLANG
NEGERI PERAK 2009


1. Peningkatan Prestasi Mata Pelajaran Guru Cemerlang di sekolah.

• Pelaksanaan P&P yang berkualiti dan berkesan.
• Program Peningkatan Prestasi Mata Pelajaran
• Head Count Mata Pelajaran
• Analisis & Post-Mortem Prestasi Pencapaian Murid
• Pelaksanaan Pelan Tindakan Penambahbaikan



2. Program Pembestarian Guru.

• Tujuan : Untuk menambahkan bilangan Guru Cemerlang di Negeri Perak.
• Pelaksanaan secara bersiri di Peringkat Daerah ( PPD & MGC Daerah )
• Pengisian :
i. Motivasi & Grooming
ii. Taklimat Kerjaya Guru Cemerlang
iii. Bimbingan Guru Cemerlang / Mentor-mentee
iv. Pembinaan Bahan Projek/Inovasi P&P



3. Projek / Inovasi/Kajian Tindakan Guru Cemerlang

• Setiap Guru Cemerlang perlu merancang & melaksanakan projek/inovasi/kajian penyelidikan pendidikan.
• Lebih banyak hasil Kajian Tindakan Guru Cemerlang akan dibentangkan di dalam Konvensyen Kajian Tindakan Negeri Perak 2009.
• Lebih ramai Guru Cemerlang dapat membentangkan projek/inovasi di peringkat negeri dan kebangsaan.
• Lebih ramai Guru Cemerlang dapat dicalonkan sebagai Guru Inovatif di peringkat kebangsaaan.

4. Program Khidmat Bantu Guru Cemerlang

• Bimbingan dan khidmat bantu Guru Cemerlang bagi Sekolah Prestasi Rendah di peringkat daerah.
• Tujuan : Membantu meningkatkan prestasi mata pelajaran dan peperiksaan awam sekolah.
• Perkongsian ilmu, kemahiran dan pengalaman bidang kepakaran mata pelajaran Guru Cemerlang.
• Pendekatan : Perbincangan guru dan Bengkel/Ceramah Teknik Menjawab Soalan.



5. Ditiadakan satu hari waktu P&P Guru Cemerlang di sekolah.

• Terpulang kepada PPD untuk menentukan hari yang ditiadakan waktu P&P di peringkat daerah.
• PPD perlu merancang pengisian untuk Guru Cemerlang di daerah.



6. Peningkatan Profesionalisme Guru Cemerlang

• Peningkatan ilmu, pengetahuan, kemahiran dan ketrampilan bidang kurikulum mata pelajaran kepakaran.
• Peningkatan ilmu, pengetahuan, kemahiran dan ketrampilan bidang pedagogi
• Peningkatan ilmu, pengetahuan, kemahiran dan ketrampilan bidang penilaian dan pentaksiran pendidikan.
• Peningkatan ilmu, pengetahuan, kemahiran dan ketrampilan bidang ICT.
• Peningkatan ilmu, pengetahuan, kemahiran dan ketrampilan bidang umum pendidikan.

Saturday, June 6, 2009

LIRIK LAGU MGC

0 comments
Dengan usaha dedikasi yang ikhlas
Bersama menjaya wawasan negara
Bergandingan dengan semangat baru
Menuju arah kegemilangan

Kita Membina hasrat mulia
Demi masa depan yang gemilang
Kita bersatu sebagai keluarga
Menjana cendiakawan negara

Kami guru cemerlang pendidik berwibawa
Menyempurnakan visi yang terbilang
Kami guru cemerlang
Melestari budaya Masyarakat

Kami berdoa dirahmati tuhan
Kita setaraf antarabangsa

Patuh pada etika
Penjana modal insan
Bina negara bangsa
Kita mampu cemerlang selamanya…

Satu Permulaan

0 comments
Assalamualaikum.

Lahirnya blog MGC Perak ini bertujuan untuk memberi serba-sedikit maklumat untuk dikongsi bersama semua MGC.
 

MGC NEGERI PERAK Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template